Teksi hujung jari

MUDAH...aplikasi TaxiMonger boleh diakses melalui telefon pintar Android.



KUALA LUMPUR: Pengenalan TaxiMonger, satu perkhidmatan pusat panggilan teksi maya yang mengendalikan tempahan teksi secara atas talian menggunakan teknologi telefon pintar Android, kini menjadi kemudahan terbaru kepada orang ramai hasil kecanggihan teknologi.
Pengguna juga boleh membuat tempahan melalui TaxiMonger.com bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar.

Pengasas Bersama TaxiMonger, Nizreen Noordin berkata, perkhidmatan itu boleh diguna pakai sesiapa saja yang mempunyai telefon pintar jenis Android memandangkan ia sudah dilancarkan sejak April lalu manakala Februari bagi pelancaran laman webnya.
Katanya, muat turun aplikasi adalah percuma dan tiada bayaran dikenakan untuk mendaftar sebagai ahli.

Nizreen berkata, proses membuat tempahan cukup mudah, malah pengguna akan mendapat maklum balas dalam masa singkat tanpa perlu menunggu lama.

“Pengguna hanya perlu muat turun aplikasi TaxiMonger di telefon mereka dan mendaftar sebagai ahli berpandukan langkah yang tertera di situ dan secara automatik, pengguna mempunyai akaun TaxiMongernya sendiri.

“Sekiranya hendak membuat tempahan, pelanggan perlu memilih butang tempahan dan memasukkan maklumat seperti lokasi mereka, destinasi dituju, jenis teksi sama ada bajet atau limosin, tarikh, masa serta bilangan penumpang. “Semua maklumat itu akan dihantar terus kepada pemandu teksi yang berada di kawasan berdekatan sebelum menghantar maklum balas untuk mengambil pelanggan terbabit,” katanya yang menjelaskan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi Celcom diwujudkan bagi mengukuhkan perkhidmatan itu.

Menurutnya, nombor pendaftaran teksi yang akan mengambil penumpang terbabit akan dihantar kepada telefon penumpang bagi memudahkan mereka mengenal pasti teksi berkenaan.
“Daripada segi bayaran, pelanggan hanya perlu membayar caj perjalanan bergantung kepada bacaan meter seperti biasa. Ini kerana apabila mereka membuat tempahan, caj RM2 yang dikenakan akan ditolak daripada kredit telefon pengguna melalui akaun TaxiMonger.

“Apabila teksi tiba untuk mengambil pelanggan, mereka tidak akan dikenakan caj tempahan lagi kerana RM2 sudah ditolak sebelum itu,” katanya yang menjelaskan perkara sama turut berlaku bagi tempahan melalui laman web.

Menurutnya, RM1.50 daripada caj RM2 akan diberikan kepada pemandu teksi setiap bulan bergantung berapa banyak tempahan yang diambilnya dan bayaran itu akan dimasukkan ke dalam akaun mereka manakala 50 sen lagi disalur kepada caj perkhidmatan atas talian yang mereka gunakan.

Nizreen berkata, caj RM50 dikenakan kepada pemandu teksi setiap bulan sebagai yuran perkhidmatan TaxiMonger.

Katanya, perkhidmatan itu ketika ini hanya boleh diakses pengguna telefon pintar Android dan pengguna BlackBberry dijangka dapat menikmatinya menjelang Oktober manakala Ogos bagi pengguna iPhone (iOS).

Katanya, bukan hanya tempahan serta-merta boleh dibuat, malah pelanggan juga boleh menempah teksi lebih awal untuk mengelakkan kesulitan pada saat akhir.

Menurutnya, pengguna diberi masa 15 minit untuk menunggu ketibaan teksi selepas membuat tempahan dan sekiranya tidak muncul, mereka diberi pilihan sama ada mahu membatalkan tempahan atau menunggu teksi seterusnya.

Katanya, setakat ini, sambutan diterima cukup menggalakkan, malah empat syarikat teksi sudah menjadi rakan kongsi projek itu dengan mendaftar pemandu teksi mereka sebagai ahli. Empat syarikat itu ialah Saujana Teksi Berhad, SM Cab Sdn Bhd, Zalnas Limosin Sdn Bhd dan Warisan Astana Sdn Bhd.

“Sepanjang lebih empat bulan pengenalan TaxiMonger, dianggarkan lebih 100 pemandu teksi sudah berdaftar dan kami menyasarkan 5,000 pemandu teksi di sekitar Lembah Klang akan menjadi ahli sehingga hujung tahun ini.

“Selain itu, penganjuran hari terbuka untuk pemandu teksi Lembah Klang pada 27 Jun ini, di Anjung Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak diadakan bagi memberi ruang kepada pemandu teksi untuk mendapatkan maklumat mengenai keberkesanan TaxiMonger,” katanya.

Nizreen berkata, TaxiMonger turut bekerjasama dengan SecQ.me iaitu aplikasi yang boleh diperoleh melalui platform Android dan iOS yang sudah dipatenkan di Malaysia dan seluruh dunia bagi melindungi pemandu dan penumpang daripada menjadi sasaran penjenayah kerana setiap pergerakan akan dirakamkan.

Menurutnya, ketika ini, TaxiMonger hanya ditawarkan kepada pengguna sekitar Lembah Klang, namun ia dijangka diperluaskan di Johor dan Pulau Pinang pada tahun depan.

laporan asal :  hmetro

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Download